Ucapan anak Najib dalam Mandarin dapat pujian
2010/07/03
Universiti di Beijing iktiraf kebolehan usaha gigih ‘Ji Ping’BEIJING: Kursus lanjutan selama tiga minggu di Beijing Foreign Study University (BFSU) membawa hasil kepada Norashman Razak, anak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila membuat satu ucapan dalam bahasa Mandarin yang mengagumkan guru dan rakan pelajarnya.
Selain sebutan yang betul, Norashman juga menggunakan banyak ungkapan dalam ucapannya itu pada satu majlis tamat kursus, semalam. Hadir sama pada majlis itu, Datin Seri Rosmah Mansor.Dengan diberi gelaran nama Cina, Ji Ping, beliau mendapat pujian Presiden BFSU, Prof Chen Yulu kerana usaha gigihnya ketika mengikuti kursus berkenaan. Norashman juga menerima sijil dan diiktiraf sebagai alumni universiti itu."Walaupun saya hanya berada di sini selama tiga minggu, penguasaan bahasa Mandarin saya meningkat dengan banyak sekali. Bukan saja saya boleh bertutur dalam bahasa Mandarin, saya juga banyak belajar mengenai budaya Cina dan masyarakat Cina di sini," katanya dalam ucapan itu.
Norashman berkata, ketika pengajiannya selama tiga tahun di Amerika Syarikat, beliau sekadar berpeluang bertutur bahasa Mandarin ketika dalam kelas dan kurang menggunakannya di luar.
"Mandarin adalah satu bahasa yang perlu ditutur selalu, jika tidak kita akan lupa menyebut perkataan dengan intonasi yang betul. Intonasi yang tidak betul membawa maksud lain pula. Di BFSU, saya mendapat peluang terbaik untuk berlatih bercakap kerana saya mempunyai ramai kawan Cina dan pelajar Malaysia," katanya.
Beliau berkata, penguasaan bahasa Mandarin oleh pelajar dari Malaysia di sini amat baik walaupun mereka baru setahun mempelajarinya. Baginya, tempoh tiga minggu itu agak singkat dan berharap dapat kembali ke BFSU untuk mengikuti kursus lanjutan.
Hasrat Norashman disokong ibunya yang berkata, Najib bersetuju agar Norashman mengikuti kursus selama sebulan di BFSU tahun depan.
"PM cadangkan Norshaman datang balik selama sebulan tahun depan, selain untuk sama-sama menyambut ulang tahun ke-70 BFSU sebagai alumni," kata Rosmah sambil menambah Najib mahu Norashman menguasai bahasa Mandarin supaya beliau (Najib) dapat berkomunikasi lebih baik dengan masyarakat Cina di Malaysia. – BERNAMA.
No comments:
Post a Comment