Thursday, July 22, 2010

GOLONGAN KATA / KATEGORI SINTAKSIS / KATEGORI LEKSIKAL: UJIAN PENENTUAN KATA NAMA

16 Julai, 2010 13:58 PM



SOALAN:

Gunakan petikan dari BERNAMA sebagai data. Nyatakan rumus/peraturan/formula yang boleh digunakan untuk menentukan (i) kata nama, (ii) kata kerja, dan (iii) kata preposisi dalam data ini.


[NOTA: Tidak perlu dihantar, tapi perlu bersiap sedia untuk kelas esok. Manalah tahu DRY terpanggil nombor-nombor kesukaannya.^__^]

Renjer Hutan - Wira Hutan Yang Tidak Didendang


Ramai yang kurang arif mengenai tugas & tanggungjawab Renjer Hutan. Foto: Jabatan Perhutanan
Oleh Salbiah Said

CHERATING (PAHANG), 16 Julai (Bernama) -- Mereka dikenali dengan nama 'renjer hutan' yang diamanahkan untuk mengurus, memantau dan mengawal khazanah hutan Semenanjung Malaysia, dan mereka juga insan yang memecah kesunyian di hutan, berseorangan di dalam hutan tebal yang penuh dengan liku-liku cabaran.

Mereka juga ialah penguatkuasa undang-undang dan pakar ekologi, yang sentiasa berdepan dengan pembalak haram, sebahagian besarnya sindiket terancang, yang menceroboh kawasan hutan simpanan kekal negara, bagi mengaut keuntungan.

Renjer yang berpakaian seragam menyerupai warna kehijauan hutan ini ialah wira yang tidak didendang, yang menghabiskan masa berhari-hari di hutan, dengan hanya bertemankan bulan untuk menyinari malam, dan berdoa agar mereka tidak diancam oleh binatang buas atau makhluk asing.

Tetapi bukan binatang ganas atau makhluk asing yang dibimbangkan, kerana misi mereka ialah memastikan khazanah hutan tropika Malaysia tidak tercemar dan diuruskan secara berkekalan, dengan pembalakan haram terus memberi cabaran utama bagi renjer-renjer ini.

Menurut Pengarah Penguatkuasaan Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Zahari Ibrahim, walaupun pembalakan haram di Semenanjung Malaysia terkawal, iaitu kurang daripada satu peratus berbanding dengan yang berlesen, pihaknya tidak hanya berpeluk tubuh.

"Masih terdapat operasi pembalakan haram yang dilakukan secara kecil-kecilan dan terancang di kawasan hutan simpanan dan pendalaman. Sasaran kami ialah ke arah pembalakan haram sifar menjelang 2016," katanya kepada Bernama di kem kerja JPSM di sini baru-baru ini.

KE ARAH PEMBALAKAN HARAM SIFAR MENJELANG 2016

Program yang diadakan selama empat hari itu bertujuan mengadakan post-mortem dan analisis terhadap faktor yang menyumbang kepada berlakunya pembalakan haram dan mengkaji semula Pelan Tindakan bagi Membanteras Pembalakan Haram di Semenanjung Malaysia (2008-2020).

Pada akhir program itu yang bermula 24 Mei, jabatan ini dijangka menggubal satu Pelan Tindakan (2001-2015) yang lebih praktikal, dengan tahun sasaran bagi menghapuskan kegiatan pembalakan haram dipercepat daripada 2020 kepada 2016.

Menurut Zahari, pembalakan haram didorongi oleh faktor sosio-ekonomi, akibat permintaan yang menggalakkan bagi kayu balak, khususnya dari kilang berasaskan kayu dan perabot yang banyak bergantung kepada hutan asli.

Berikutan sumber yang berkurangan, kilang-kilang ini terpaksa mencari sumber alternatif untuk meneruskan operasi mereka, katanya.

Sesetengah penduduk kampung, tambahnya, mengambil kesempatan dan jalan mudah dari keadaan ini dengan menebang pokok di hutan, yang terletak di hutan simpanan kekal, yang diwartakan.

SINDIKET TERANCANG MENGGUNAKAN 'TONTO'

"Pada masa ini, kegiatan pembalakan ini lebih terancang, dengan sindiket yang diurus oleh mereka yang mahir dengan selok belok perhutanan menggunakan sistem komunikasi dan 'tonto' bagi menggagalkan operasi yang dijalankan oleh renjer kami," kata Zahari.

Mereka mempunyai rangkaian yang kuat; penebang pokok akan menyerahkan kayu balak itu kepada pemandu lori yang membawa barangan itu kepada pembeli. Pembeli pula akan menjual kayu balak itu kepada kilang.

Dilema yang kami hadapi ialah bagaimana hendak memecah modus operandi mereka, dan sukar bagi kami mengenal pasti dalangnya kerana ada sindiket yang menggunakan kanak-kanak, orang kampung serta masyarakat Orang Asli yang tidak memahami undang-undang," katanya.

Caranya ialah mengatur setiap tonto untuk memberitahu pihak sindiket di sepanjang perjalanan mengenai kedatangan pegawai penguatkuasa yang sedang membuat rondaan, dan ada juga sindiket yang cuba mengelirukan pegawai penguatkuasa dengan menggunakan orang awam untuk membuat aduan palsu mengenai sesuatu kejadian haram.

Bank Dunia menganggarkan pembalakan haram mengakibatkan kerugian dari segi pendapatan yang tidak dapat dikutip di antara AS$10 bilion dan AS$15 bilion setiap tahun.

STATISTIK PEMBALAKAN HARAM

Di bawah Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara, 1984 (Pindaan 1993), pembalak haram boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 dan dipenjarakan tidak kurang setahun dan tidak melebihi 20 tahun. Kesalahan mengikut seksyen ini ialah mengambil hasil hutan daripada hutan simpanan kekal atau tanah kerajaan tanpa lesen yang sah.

Menurut statistik JPSM, sejumlah 163 kes pembalakan haram dilaporkan di seluruh Semenanjung Malaysia dari tempoh 2006 hingga Mei tahun ini.

Daripada sejumlah itu, tahun 2006 mencatat 34 kes; 2007 (38) 2008 (42); 2009 (30) dan setakat Mei 2010 (19).

Daripada sejumlah 163 kes pembalakan haram yang dikesan, 109 meliputi kawasan hutan berstatus simpanan kekal dan 54 tanah kerajaan.

Mengikut rekod JPSM, 179 orang telah ditangkap kerana kesalahan pembalakan haram dalam tempoh 2006-Mei 2010, manakala kompaun dan gantirugi kes kesalahan pembalakan haram berjumlah RM11.7 juta dan rampasan mesin dan jentera berat berjumlah 286 unit.

PERSEPSI MASYARAKAT DAN MEDIA

Menurut Zahari, dalam kalangan masyarakat dan media, masih terdapat persepsi bahawa semua bentuk pembalakan ialah haram.

"Bukan semua kegiatan pembalakan itu haram; ada pembalakan yang berlesen dan dibenarkan seperti di hutan simpanan kekal yang berteraskan kepada prinsip pengurusan hutan secara berkekalan manakala kawasan hutan tanah kerajaan pula bagi tujuan pertanian, pembangunan, dan sebagainya. Apa yang mengecewakan kami ialah laporan yang salah yang menjadi tajuk berita media; sementara pembetulan oleh pihak jabatan hanya mendapat ruang yang kecil," katanya.

Tanah kerajaan atau tanah beri milik yang dimajukan untuk pertanian adalah luar dari kawasan hutan simpanan kekal di bawah dasar penggunaan tanah negara. Ini bererti 50 peratus kawasan tanah di negara ini boleh dimajukan untuk pelbagai kegiatan pembangunan.

Di bawah dasar penggunaan tanah negara, 25 peratus diperuntukkan untuk pertanian dan baki 25 peratus untuk lain-lain kegunaan manakala minimum 50 peratus dikhaskan untuk hutan simpanan kekal.

Menurut Zahari, laporan media seperti kes rasuah yang membabitkan pegawai penguatkuasa perhutanan juga turut memberikan persepsi dan imej negatif terhadap jabatan ini, dan sedikit sebanyak melemahkan semangat pegawai.

Kem kerja ini turut mencadangkan supaya jabatan mempertingkat hubungannya dengan media, khususnya bagi menangani masalah pembalakan haram, katanya, dan menambah, peranan media dan cara menangani serta menguruskan krisis melalui media turut ditekankan dalam pelan tindakan baru JPSM itu.

Integriti pegawai penguatkuasa juga merupakan elemen utama dalam pelan tindakan itu, yang memberi tumpuan kepada sikap, disiplin dan tanggungjawabnya terhadap tugas yang diamanahkan, iaitu mengawal dan melindungi khazanah hutan negara, katanya.

PENYUSUNAN SEMULA JPSM

Bagi memantapkan keberkesanan penguatkuasaan hutan, kerajaan meluluskan 62 perjawatan baru mulai 1 Jun 2008 di bawah penyusunan semula JPSM, kata Zahari.

Daripada jumlah itu, 44 perjawatan diwujudkan bagi memperkemas unit penguatkuasaan di jabatan ini.

Di samping itu, tambahnya, kerajaan juga bersetuju mewujudkan unit baru iaitu Unit Perundangan dan Pendakwaan dengan dianggotai 18 perjawatan baru, antaranya terdiri daripada pegawai undang-undang dan unit ini dipertanggungjawabkan memberi nasihat mengenai penyiasatan dan menjalankan pendakwaan.

Di dalam penyusunan semula bahagian penguatkuasaan, 18 orang pegawai penguatkuasaan (siasatan) ditempatkan di negeri-negeri khusus dalam menjalankan penyelarasan tugasan penyiasan kes kesalahan hutan.

"Bagaimanapun, berasaskan suasana ekonomi, kerajaan membekukan permohonan pertambahan pegawai dan petugas penguatkuasa di peringkat negeri-negeri," katanya.

Ekonomi Malaysia mengalami kesan daripada krisis kewangan global yang menjejaskan perdagangan sedunia sejak suku ketiga tahun 2008 sehingga suku pertama tahun 2009.

Buat pertama kalinya sejak suku akhir 2001, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup 6.2 peratus pada suku pertama 2009 selepas berkembang 0.1 peratus pada suku keempat 2008, akibat kemerosotan eksport.

Menurut Zahari, ibu pejabat JPSM memutuskan untuk menubuhkan Panel Penyiasat Dalaman bertujuan menjalankan siasatan dalaman ke atas kes pembalakan haram bagi mengenal pasti sama ada wujudnya unsur kecuaian atau penyelewengan oleh pegawai dan petugas jabatan semasa menjalankan tugas.

Di samping itu, katanya, panel penyiasatan ini juga akan bertanggung jawab mendalami dan mengkaji isu berkenaan dan mengemukakan syor serta penambahbaikan yang perlu dilaksanakan segera oleh pihak jabatan.

Bagaimanapun, bagi kes rasuah, pihak jabatan menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengendalikan siasatan, katanya.

BEBAN TUGAS RENJER

Untuk pelan tindakan baru ini, kem kerja di Cherating mencadangkan supaya renjer JPSM bergerak dalam satu pasukan dan tidak bersendirian dalam melaksanakan tugas dan tanggung jawabnya melindungi khazanah hutan negara, katanya.

"Seeorang renjer perlu menjaga beribu hektar kawasan hutan simpan, dan ini membebankannya. Tidak ramai yang tahu mengenai perkara ini," kata Zahari.

Keluasan hutan simpanan kekal di Semenanjung Malaysia berjumlah 4.7 juta hektar manakala industri pemprosesan utama beroperasi berjumlah 491.

Bagi menjalankan tugas pencegahan dan penguatkuasaan, JPSM kini mempunyai 214 anggota penguatkuasaan sepenuh masa, termasuk di ibu pejabat, dengan jumlah kenderaan sebanyak 37 unit.

"Keadaan ini menunjukkan ketidakseimbangan bilangan pegawai dan petugas penguatkuasaan hutan berbanding dengan pemantauan dan pengawalan keluasan kawasan hutan simpanan kekal serta bilangan pemprosesan utama," jelas Zahari.

Ini tidak termasuk kawasan berhutan yang lain seperti hutan tanah kerajaan, hutan tanah milik dan kawasan ladang hutan oleh pihak swasta serta individu.

Di samping itu, penguatkuasaan dan pemantauan juga perlu dilakukan terhadap industri perkayuan hiliran dan tradisional yang menggunakan hasil hutan terutamanya kayu sebagai bahan asas pemprosesan, katanya.

TEKNOLOGI TERKINI MEMBANTERAS PEMBALAKAN HARAM

Bagi JPSM, penggunaan teknologi tinggi juga perlu bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan, penguatkuasaan dan pengawalan sumber hutan di dalam kawasan hutan yang luas serta mempunyai ciri-ciri bentuk muka bumi yang unik.

Menurut Zahari, teknologi tinggi yang dikenal pasti dan akan dilaksanakan secara meluas dalam penguatkuasaan dan pengurusan hutan termasuk penggunaan Sistem Pemantauan Hutan Menggunakan Penderiaan Jauh (FMRS), Geographical Information System (GIS), Hyperspectral, Radio Frequency Identification (RFID), camera trapping dan Unmanned Aerial Vehicle (UAV).

Setakat ini, teknologi yang digunapakai ialah FMRS, iaitu aplikasi berasaskan Internet yang menggunakan imej satelit beresolusi tinggi dan terkini, katanya.

"FMRS digunakan untuk memantau sebarang perubahan yang berlaku di kawasan hutan termasuk kawasan yang sukar dimasuki dengan kenderaan dan pada masa yang sama, dapat membantu mencegah pembalakan haram," kata Zahari.

Manakala teknologi lain seperti UAV, RFID dan camera trapping masih lagi di peringkat kajian dan percubaan, jelasnya.

-- BERNAMA


sumber: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsfeatures.php?id=514050

tarikh capaian: 22 Julai 2010.

No comments:

Post a Comment