Tuesday, August 31, 2010

NAMEWEE: versi Berita Harian Online

Namewee nafi terbit klip video berbaur perkauman


2010/08/31

KUALA LUMPUR: Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, 27, menafikan klip video yang diterbitkannya bersifat perkauman, sebaliknya hanya menyuarakan isi hatinya sebagai rakyat yang bencikan semangat perkauman yang diamalkan sesetengah pihak di negara ini.

Namewee berkata, lirik lagu dalam klip video itu menggambarkan perasaannya yang menolak tindakan pihak tertentu memainkan isu kaum selain sebagai tanda menyokong gagasan 1Malaysia cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang berasal dari Muar mengakui pemilihan perkataan dalam klip video terbabit agak kasar, namun ia caranya menyampaikan mesej dengan berkesan, khusus kepada golongan yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
“Jika saya tidak gunakan perkataan berat, mesej berkenaan tidak sampai. Klip video itu khas untuk mereka yang bersifat perkauman dan saya sebagai rakyat Malaysia tidak suka kepada golongan itu.

“Saya kecewa kerana dilabel begitu. Saya ada ramai kawan di kalangan orang Melayu, Cina serta India dan saya mahu hidup harmoni seperti orang lain,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Klip video terbitan Namewee itu yang tersebar di internet minggu lalu didakwa merujuk kepada kes seorang guru yang dikatakan memarahi pelajarnya dengan perkataan berbaur perkauman, baru-baru ini. Namewee juga sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila mencipta dan menyanyi lagu Negaraku versi sendiri bertajuk Negarakuku, namun kemudian meminta maaf.

Namewee berkata, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis jika dipanggil memberi keterangan.


tarikh capaian: 31 ogos 2010

No comments:

Post a Comment