Wednesday, June 30, 2010

Ciri Bahasa Berbudaya

BAHASA BERBUDAYA: APAKAH ERTINYA?
Awang Sariyan

Hubungan antara bahasa dengan budaya menjadi salah satu tema utama dalam historiografi atau pensejarahan linguistik sedunia sejak awal pertumbuhan disiplin linguistik, seawal abad ke-5 S.M. di Yunani atau Greek. Persoalan hubungan antara bahasa dan budaya menyimpulkan rumusan umum bahawa bahasa bukan suatu entiti yang autonom atau bebas daripada lingkungannya, iaitu pelbagai sistem yang ada dalam masyarakatnya.

Dengan pengertian yang luas, budaya atau kebudayaan merujuk kepada segala sistem yang wujud dalam sesuatu masyarakat, iaitu sistem politik dan pemerintahan, sistem perundang-undangan, sistem ekonomi, sistem sosial, sistem pendidikan, sistem nilai, pemikiran dan yang lain-lain, dengan bahasa menjadi perantaraannya.

Dalam hubungannya dengan idealisme pembentukan dan peneguhan bangsa yang bertamadun luhur, peranan bahasa berbudaya, iaitu konsep bahasa yang menjadi tunjang segala sistem masyarakat atau bangsa, perlu dijadikan salah satu agenda utama negara, sejajar dengan agenda ekonomi, perhubungan antarabangsa dan yang lain.

Bahasa berbudaya bukan sekadar' bahasa bergaya'

Erti bahasa berbudaya yang menjadi kata kunci dalam makalah ini tidak dibatasi oleh pengertian umum bahawa bahasa berbudaya ialah bahasa yang sarat dengan unsur-unsur stilistik seperti simpulan bahasa, bidalan, perumpamaan, pepatah atau dengan istilah stilistik Barat, bahasa yang dibumbui metafora, simile, personifikasi, depersonifiksi, hiperbola, anafora, rima, asonansi, aliterasi dan yang lain. Meskipun penggunaan segala unsur stilistik itu memang menjadi salah satu tanda atau petunjuk bahasa berbudaya, namun erti bahasa berbudaya yang saya maksudkan di sini merujuk kepada konsep yang lebih luas.

Asas sesuatu bahasa yang mencapai taraf bahasa berbudaya, antara lain, ialah kemampuannya berfungsi sebagai bahasa akliah, bahasa ilmu, bahasa yang merentas segala ranah sistem sosial masyarakat atau bangsanya, bahasa tinggi, bahasa supra dan bahasa estetik.

Bahasa akliah

Ciri pertama bahasa berbudaya, iaitu bahasa akliah berkaitan rapat dengan hakikat bahasa dan sebab-musabab bahasa dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Secara fitrahnya, bahasa dan akal merupakan suatu sistem yang bertaut, yang menjadi sifat istimewa manusia. Huraian Al-Attas dalam beberapa banyak tulisannya, antaranya dalam Prelogomena to Islamic Metaphysics (1995) merumuskan bahawa istilah haiwan natiq (rational animal) yang dikiaskan kepada makhluk manusia itu merujuk kepada akar kata nutq yang bererti akal dan bahasa. Manusia diibaratkan sebagai haiwan, tetapi haiwan yang berfikir dan berbahasa. Dalam surah al-Rahman, ayat 1-4, Allah berfirman, dengan mafhumnya, “Tuhan yang maha pemurah yang mengajarkan Qur`an. Dia menciptakan manusia dan mengajarnya pandai berbahasa.”

Istilah bahasa akliah bersinonim dengan istilah bahasa rasional dan bahasa saintifik, iaitu penjabaran daripada ciri rasional dan saintifik yang melandasi pandangan sarwa Islam. Kupasan tentang ciri rasional dan saintifik yang dibawa oleh Islam, termasuk ke alam Melayu, telah dibuat oleh al-Attas dalam Syarahan Perdana pada tahun 1972, iaitu sebagaimana yang dapat dibaca dalam buku Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia. Sifat rasional dan saintifik yang dimaksudkan di sini merujuk kepada pemahaman dan pengakuan akan segala hakikat yang diatur oleh Allah sebagai pencipta dan pentadbir sarwa alam, bukan rasional dan saintifik yang disempitkan oleh ahli-ahli falsafah Barat yang sama ada menekankan autonomi akal (bagi pendukung aliran rasionalisme) atau yang taksub kepada kehebatan pancaindera semata-mata (bagi pendukung aliran empirisisme).

Bahasa Melayu yang kita kenal kini ialah bahasa yang inti kandungannya sarat dengan sifat bahasa akliah, iaitu bahasa yang telah mengalamai pengislaman, sejajar dengan proses pengislaman Kepulauan Melayu sejak abad ke-13 (malah ada bukti yang menunjukkan waktu yang lebih awal, seperti yang dibicarakan dalam siri terbitan Yayasan al-Fataniyah). Tidak dinafikan bahawa bahasa Melayu memang telah tumbuh dan berkembang lebih awal dalam kerajaan-kerajaan Melayu tua seperti Campa, Langkasuka dan yang paling masyhur kerajaan Sriwijaya pada abad ke-7 Masihi.

Namun bahasa Melayu yang dikenal kini bukan bahasa yang diwarisi daripada bahasa Melayu kuno yang tidak dapat difahami, kecuali beberapa patah kata yang masih kekal hingga kini. Bandingkanlah, misalnya bahasa pada prasasti abad ke-7 yang diwarnai oleh pengaruh bahasa Sanskrit dengan bahasa pada prasasti abad ke-14 (Batu Bersurat Terengganu) sesudah bahasa Melayu mengalami proses pengislaman. Nescaya dapat dilihat perbedaan yang jelas dan kita masih dapat memahami wacana yang tertancap pada Batu Bersurat Terengganu meskipun gaya bahasanya gaya bahasa lama.

Bahasa akliah yang menjadi tanda bahasa berbudaya bagi bahasa Melayu meliputi segala aspek kehidupan, baik yang berhubungan dengan ketuhanan mahupun yang berhubungan dengan kehidupan bermasyarakat. Dalam bahasa falsafahnya, bahasa Melayu telah dilengkapi aspek ontologinya, aspek epistemologinya dan aspek aksiologinya. Ontologi berkaitan dengan sistem kewujudan yang menghuraikan kewujudan pencipta dan makhluk. Epistemologi memerikan hal ehwal ilmu yang meliputi sumber, kaedah dan matlamat ilmu. Aksiologi pula meliputi aspek sistem nilai atau akhlak.

Bagi ketiga-tiga aspek itu, bahasa Melayu telah mempunyai asas yang kukuh dengan sekian banyak kosa kata yang menjelaskan segala konsep yang terkandung di dalamnya. Segala kosa kata yang terkandung dalam huraian yang berkaitan dengan Rukun Iman, Rukun Islam, akhlak atau tasawuf dan bidang-bidang yang lain (seperti munakahat atau sistem kekeluargaan, muamalat atau sistem ekonomi, siasah atau sistem pemerintahan dan jinayat atau sistem keadilan) merupakan gambaran bahasa akliah yang menjadi teras bagi bahasa Melayu dan umat Melayu di seluruh alam Melayu.

Tidaklah tercapai bahasa akliah apabila kepercayaan kepada Allah yang esa, misalnya, disertai amalan dan kepercayaan yang syirik, termasuk mensyirikkan Allah dengan manusia, seperti bergantung nasib kepada sesama manusia dalam memperoleh kedudukan atau rezeki. Tidaklah sampai kita pada penghayatan bahasa akliah juga apabila kita tidak redha akan qada` dan qadar Tuhan, malah berusaha melawan takdir dengan cara yang sesat. Demikian juga, belumlah kita masuk ke tahap menghayati bahasa berbudaya yang akliah jika kita belum memahami dan melaksanakan segala konsep yang berkaitan dengan ibadah (Rukun Islam yang lima), sistem muamalah, sistem munakahat, sistem jinayat dan adab yang kesemuanya telah dirakamkan dalam ribuan kosa kata yang mencerminkan sistem hidup yang islami.

Maka itu, untuk melestarikan ciri bahasa Melayu sebagai bahasa akliah, iaitu ciri teras bahasa berbudaya, bahasa Melayu perlu dikaitkan dengan landasan dan hala tuju yang jelas tentang konsep-konsep dasarnya. Bahasa Melayu perlu dihindari daripada sekularisme, iaitu penakrifan kosa kata yang menyimpang daripada hakikat Islam dan juga dihindari daripada kaedah menangani bahasa menurut kerangka yang pseudosaintifik (seperti peneleti yang semata-mata menghuraikan bahasa sebagai fenomena sosial tanpa pelibatan aspek akhlaknya). Meskipun globalisasi dan fenomena silang budaya menjadi kenyataan yang tidak dapat dihindari, namun sebagai bangsa yang bertradisi kukuh sejak ratusan tahun, perlu ada keazaman dan ikhtiar untuk kita memulihara bahasa akliah yang bersumberkan agama tanzil.

Bahasa ilmu

Ciri kedua bahasa berbudaya ialah keupayaannya menjadi bahasa ilmu. Syarat asas bahasa ilmu ialah pertama-tamanya kaya dengan ilmu dan keduanya, menjadi bahasa pengembangan ilmu dalam masyarakat atau bangsanya. Sejak berabad-abad lalu, bahasa Melayu memang telah menjadi bahasa ilmu, bermula dengan benih awalnya sebagai bahasa pengajian agama Buddha dalam zaman pra-Islam, iaitu pada zaman kerajaan Sriwijaya pada abad ke-7. Apabila Islam datang ke alam Melayu, tradisi ilmu menjadi mercu tanda utama kebudayaan Melayu dalam zaman Kesulltanan Melayu di seluruh Kepulauan Melayu. Pusat kebudayaan Melayu seperti Pasai, Melaka, Terengganu, Aceh, Banjarmasin, Patani, dan Johor-Riau merupakan pusat kebudayaan Melayu yang cemerlang dengan tradisi ilmu.

Bahasa Melayu dengan bantuan tulisan Jawi yang dipadankan daripada aksara Arab telah menjadi pengungkap yang berkesan dalam segala bidang ilmu yang dibawa oleh pendakwah Islam pada waktu itu, daripada ilmu kalam kepada ilmu ibadah, muamalat, munakahat, jinayat, sirah, tafsir dan adab. Malahan berkembang suburnya tasawuf atau metafizik di alam Melayu menandai kemuncak pembicaraan dan kupasan ilmu yang tinggi dalam bahasa Melayu. Usahlah kita lupakan pula daya pengungkapan bahasa Melayu dalam bidang ilmu lain seperti persenjataan, perubatan, astronomi dan sebagainya.

Apabila perjuangan memerdekakan negara digerakkan, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu turut menjadi agenda utama. Demikianlah maka bahasa Melayu telah dirancang menjadi bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara, sebagaimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Abdul Rahman Talib 1960 sehingga dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian diperkukuh dalam Akta Pendidikan 1996, walaupun perkembangan kemudian menunjukkan adanya gugatan terhadap dasar tersebut. Kemuncaknya ialah apabila sempurnanya penukaran aliran pendidikan berpenghantar bahasa Inggeris kepada sistem pendidikan berpenghantar bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan pada tahun 1970-an.

Bukti kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi pula ditandai oleh tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 dengan pelibatan rakyat (melalui pungutan derma ke segenap negeri oleh jawatankuasa penaja yang dipengerusikan oleh Tun Syed Nasir Ismail). Asas penubuhan UKM ialah untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar ilmu di pusat pengajian tinggi, 13 tahun lebih awal daripada perancangan kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa pengajian tinggi pada tahun 1983.

Berkat pelibatan ratusan (mungkin juga ribuan) ilmuwan dalam pelbagai bidang (sains tabii dan sains kemanusiaan), sejumlah lebih satu juta istilah ilmu dan bidang teknikal dalam kira-kira 300 bidang dan subbidang telah digubal, terutama melalui mekanisme yang diatur dan diselaraskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sejak tahun 1956 dan secara lebih aktif sejak tahun 1972 sesudah terbentuknya Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu dan Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia (MBIM).

Wacana ilmiah dalam bentuk buku dan jurnal ilmiah dalam bahasa Melayu telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan penerbit-penerbit universiti serta sejumlah penerbit swasta. Penyampaian pelbagai mata pelajaran di sekolah dan pelbagai kuliah di institusi pengajian tinggi telah dapat disampaikan dalam bahasa Melayu oleh guru dan pensyarah dengan baiknya. Lulusan sistem pendidikan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah menjadi tenaga penggerak pembangunan dalam pelbagai sektor.

Oleh itu, untuk menjamin kelangsungan bahasa Melayu terus menjadi bahasa berbudaya, dengan pengertian berfungsi sebagai bahasa ilmu, maka tidak ada tolak ansur yang dapat diterima dalam mengekalkan dan meningkatkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini dan di negara berbahasa Melayu yang lain. Prasyarat utama pembentukan bangsa dan tamadun yang luhur ialah keutuhan ilmu yang dimiliki oleh bangsa itu; dan prasyarat keutuhan ilmu bangsa sebahagian besar ditentukan oleh keberkesanan penyampaian ilmu kepada masyarakat, iaitu dengan menggunakan bahasanya sendiri, sekalipun bahasa-bahasa asing tetap diperlukan sebagai bahasa sumber ilmu.

Itulah asas perjuangan pejuang bahasa Melayu, bukan disebabkan taksub, ekstrem, tertutup atau anti bahasa asing. Inilah juga hakikat sejarah perkembangan tamadun bangsa-bangsa besar di dunia dari dahulu hingga kini, termasuk bangsa-bangsa Barat yang menjadikan tamadun Islam pada zaman keemasannya, terutama pada zaman Bani Abbasiyah, sebagai sumber ilmu. Mereka mempelajari bahasa Arab dan menerjemahkan sekian banyak karya besar Islam, termasuk karya perubatan, matematik, astronomi dan falsafah ke dalam bahasa Barat, tanpa menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa pengembangan ilmu untuk bangsanya.

Apabila bahasa Melayu mula digerhanakan sebagai bahasa ilmu, terutama dengan pelaksanaan pengajaran subjek-subjek dalam sains dan matematik pada tahun 2003 dan penyempitan pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di institusi pengajian tinggi (sebagai susulan perubahan dasar di peringkat sekolah), kesan langsung tindakan itu ialah kepudaran bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Kita mengharapkan sinar 2012 (atau kini katanya mungkin 2011) menjelma menjadi kenyataan apabila bahasa Melayu dipulihkan kedudukan dan fungsinya menjadi bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan, bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi semestinya di peringkat pengajian tinggi juga.

Bahasa merentas bidang

Selain berfungsi sebagai bahasa ilmu, bahasa berbudaya mestilah memenuhi ciri merentas segala bidang kehidupan utama. Maksudnya, bahasa berbudaya mesti berfungsi sebagai tunjang ranah-ranah kehidupan bertamadun yang lain, seperti pentadbiran, undang-undang, media dan ekonomi. Dalam zaman kerajaan Sriwijaya, bahasa Melayu telah mula digunakan sebagai bahasa pentadbiran, termasuk di wilayah-wilayah jajahannya yang sampai di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu yang dikenal sebagai Segenting Kera. Dalam zaman Kesultanan Melayu pula, bahasa Melayu bertambah kukuh sebagai bahasa pentadbiran, dengan sistem pentadbirannya yang kian canggih.

Di Melaka, misalnya konsep pentadbiran beraja didukung oleh sistem pembesar yang empat, iaitu Bendahara, Temenggung, Laksamana dan Penghulu Bendahari, dengan masing-masing berfungsi sebagai ketua portfolio yang khusus – Bendahara selaku ketua eksekutif atau perdana menteri, Temenggung selaku penanggungjawab portfolio keselamatan, Laksamana selaku penanggungjawab hal ehwal kelautan dan Penghulu Bendahari selaku pengawal khazanah negara.

Sebagai bahasa undang-undang pula, Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka menjadi dokumen penting yang membuktikan bahawa bahasa Melayu telah berfungsi sebagai bahasa undang-undang. Demikian juga teks yang diukir pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303 itu dengan jelas membuktikan kewujudan wacana undang-undang dalam bahasa Melayu. Malahan hampir setiap kerajaan Melayu pada waktu itu mempunyai kitab undang-undangnya sendiri, seperti Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Siak dan Undang-undang Johor.

Sebagai bahasa ekonomi, telah dirakamkan dalam sejarah bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa perdagangan antarabangsa yang penting, sehingga segala pedagang dan utusan dari dari negara asing perlu mempelajari bahasa Melayu. Kota Melaka pada abad ke-15 dan ke-16 telah menjadi entrepot yang merupakan pusat pertukaran barang dagangan timur barat, dengan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraannya.

Sejarah gemilang bahasa Melayu sebagai bahasa yang merentas ranah utama kehidupan bertamadun tinggi itu perlu diupayakan kesinambungannya pada zaman ini untuk melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa berbudaya. Walaupun penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran telah dilaksanakan untuk memenuhi konsep bahasa rasmi dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, namun peratusan penggunaannya dan mutunya dalam sesetengah bidang urusan rasmi (surat, laporan, pekeliling, perjanjian, minit mesyuarat) masih belum cukup memuaskan (lihat, misalnya, kajian DBP tentang taraf dan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, 2009).

Penggunaan bahasa Melayu dalam bidang undang-undang pun memperlihatkan pasang surutnya walaupun ada kesungguhan badan kehakiman dan Majlis Peguam melaksanakan bahasa Melayu dalam dokumen dan perbicaraan di mahkamah. Sebagai bahasa ekonomi, bahasa Melayu di negara ini masih terkebelakang jika dibandingkan dengan bahasa asing, terutama bahasa Inggeris dan bahkan bahasa Mandarin. Ikhtiar yang dilakukan oleh DBP untuk ‘menjinakkan’ sektor swasta menghormati bahasa Melayu dalam dokumen, iklan, peragaan dan sebagainya sebahagiannya berhasil, tetapi kerap terbentur setiap kali berlakunya perubahan dasar atau sikap kerajaan tentang Dasar Bahasa Kebangsaan.

Dalam bidang media pula, nasib bahasa Melayu dalam bidang media elektronik banyak bergantung pada tokoh yang menerajui badan-badan penyiaran. Dalam sektor penyiaran kerajaan sendiri, perubahan waktu berita perdana dalam bahasa Melayu telah beberapa kali diubah sehinggan martabat bahasa Melayu seakan-akan berada di kelas kedua. Syukurlah apabila menteri yang masih utuh semangat dan pemahamannnya tentang dasar bahasa mengambil alih pucuk pimpinan kementerian yang berkenaan, nasib bahasa Melayu tampaknya dijulang semula.

Saya turut menyedari bahawa di RTM dalam tempoh beberapa tahun (sekitar 2000-2005) ada pegawai tingginya yang peka tentang keperluan membentuk suatu piawai dalam hal sebutan dan mengeluarkan arahan untuk semua pembaca berita dan pengacara menyebut kata-kata serapan daripada bahasa asing menurut sebutan baku bahasa Melayu. Namun, sekali lagi usaha itu banyak bergantung pada iltizam individu tertentu. Dasar penggunaan bahasa Melayu yang dengan jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan sering kali dilaksanakan dengan rasa ragu-ragu dan segan silu. Dalam media cetak pula, sudah sering ditimbulkan bagaimana di negara yang bahasa kebangsaan dan bahasa rasminya bahasa Melayu, akhbar berbahasa Melayu dialahkan oleh akhbar-akhbar berbahasa lain daripada segi jumlah edarannya.

Bahasa Melayu tinggi

Selanjutnya, ciri keempat bahasa berbudaya berkaitan dengan bahasa yang ditandai oleh ragam bahasa tinggi. Pengistilahan ini tidak sepatutnya diberi reaksi negatif oleh mana-mana pihak, kerana penegasan akan perlunya ragam bahasa tinggi tidak bermaksud menafikan dan mematikan pelbagai ragam bahasa yang lain, baik pelbagai dialek daerah yang menjadi warisan bangsa Melayu mahupun pelbagai dialek sosial yang muncul untuk memenuhi keperluan komunikasi tertentu.

Setiap bahasa yang mewakili bangsa yang bertamadun memiliki ragam bahasa tinggi, yang dengan istilah lain disebut juga ragam baku, ragam rasmi dan ragam formal. Dalam hal ini, tidak perlu kita membesar-besarkan istilah bahasa baku sebagai istilah yang kononnya tidak tepat kerana dikatakan berkonotasi menyeragamkan bahasa sepenuh-penuhnya. Sebagai penuntut bidang linguistik, pasti semua kita faham dan sedar bahawa tidak wujud keseragaman seratus peratus dalam hal penggunaan bahasa. Maka itu timbul konsep dialek, idiolek, sosiolek dan diglosia.

Pembakuan bahasa bukan proses penyeragaman seluruh aspek korpus bahasa sehingga ke akar umbinya. Pembakuan bahasa sekadar upaya penyeragaman hal-hal dasar atau rumus-rumus dasarnya, baik dalam tatabahasa, ejaan, sebutan, kosa kata dan laras bahasa. Piawai tertentu diperlukan untuk tujuan mewujudkan keadaan saling faham yang tinggi dalam komunikasi, terutama dalam bidang keilmuan dan urusan rasmi.

Jika bahasa Inggeris memerlukan standard English, bahasa Arab memerlukan fusha, bahasa China memerlukan phutonghua, maka bahasa Melayu memerlukan ragam bakunya untuk komunikasi keilmuan dan urusan rasmi. Istilahnya berbeda menurut masing-masing bahasa tetapi konsepnya sama. Istilah 'baku' atau 'standard' tidak mengubah konsep ragam bahasa yang diperlukan untuk situasi rasmi. Isu manakah istilah yang lebih tepat hanya isu luaran, sedang yang lebih inti dan penting ialah keperluan terhadap ragam bahasa rasmi. Maka itu sia-sialah perdebatan tentang adakah istilah 'baku' atau 'standard' yang lebih tepat kerana perdebatan itu tidaklah lebih daripada perdebatan perihal kulit, bukan isinya.

Oleh itu, perancangan bahasa yang berkaitan dengan pengekodan atau kodifikasi bahasa dalam bidang ejaan, sebutan, kosa kata, tatabahasa dan laras bahasa tidak patut diremehkan dalam rangka pembentukan bahasa tinggi. Sikap sesetengah kalangan, yang bersikap laissez-faire, deskriptif seratus peratus dan berlepas tangan terhadap bahasa yang berperaturan akan menyebabkan bahasa Melayu kehilangan jejak yang jelas tentang sistemnya. Yang lebih parah lagi ialah pemansuhan sesuatu aspek yang telah dibakukan, sebagaimana yang berlaku kepada sebutan baku bahasa Melayu, sesudah 12 tahun dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara dan di stesen televisyen STMB.

Jelas bahawa fungsi ketiga Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagaimana yang diaktakan, iaitu membakukan ejaan, sebutan dan istilah telah diremehkan dan diceroboh oleh tangan berkuasa yang tidak sepatutnya mengkhianati Akta Parlimen, kerana Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan dan beroperasi di bawah Akta Parlimen. Anggapan sesetengah penyelidik kononnya pemansuhan itu dilakukan kerana dasar itu gagal ternyata anggapan yang tidak didasarkan pada penyelidikan, melainkan anggapan kosong semata-mata kerana sebutan baku telah berjaya dilaksanakan dalam sistem pendidikan dan penyiaran selam 12 tahun.

Saya menyokong segala usaha meneliti kepelbagaian dialek yang ada dalam bahasa Melayu, kerana semua itu merupakan warisan budaya yang penting, dan pada waktu yang sama melihat pentingnya diperkukuh ragam bahasa tinggi untuk menjadi wasilah pengucapan pemikiran, ilmu dan estetika.

Bahasa Supra atau Mahawangsa

Ciri bahasa berbudaya yang kelima pula ialah bahasa supra, iaitu bahasa yang mencapai tahap penyebaran dan penggunaan yang luas. Selain merentas etnik di peringkat negara, bahasa berbudaya seharusnya dapat juga merentas batas geopolitik. Dalam konteks bahasa Melayu, taraf supranya telah wujud dalam zaman Sriwijaya dan Kesultanan Melayu apabila bahasa Melayu menjadi jati diri dan citra Kepulauan Melayu. Maka itu, tiada masalah kesenjangan atau jurang pemahaman apabila kita membaca Hikayat Raja Pasai, Sulalatus Salatin, Hikayat Aceh, Hikayat Merong Mahawangsa dan Tuhfat al-Nafis sekalipun karya itu dihasilkan di Pasai, di Johor-Riau, di Aceh atau di Kedah.

Demikian juga sekian banyak kitab agama yang dihasilkan oleh ulama di pelbagai pusat kebudayaan Melayu hingga kini masih dapat dihayati di serata tempat di alam Melayu. Kitab karangan Syekh Arsyad al-Banjari di Kalimantan, kitab karangan Nuruddin al-Raniri dan ulama-ulama lain di Aceh, kitab karangan Syekh Daud Fatani di Patani dan kitab-kitab yang dihasilkan di wilayah lain menggambarkan bahasa Melayu supra.

Kesan penjajahan Inggeris dan Belanda yang memfaraidkan alam Melayu kepada batas geopolitik milik mereka dan kemudian merdeka atas nama dan bentuk entiti-entiti politik yang berlainan telah memberikan kesan yang buruk kepada taraf supra bagi bahasa Melayu. Jalannya tidak mudah, tetapi kita perlu membuat perancangan yang rapi agar secara beransur-ansur bahasa Melayu dapat mencapai tahap “biduk lalu kiambang bertaup”. Hasil kerjasama kebahasaan serantau melalui Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia (MBIM) dan kemudian Majlis Bahasa Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia (MABBIM) sejak tahun 1972 secara beransur-ansur telah berhasil merapatkan jurang komunikasi antara bahasa Melayu di Malaysia dengan variannya di Indonesia.

Kemudian melalui Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang sempat beroperasi dalam tempoh 2000-2004, telah wujud persefahaman untuk menerima konsep bahasa Melayu/Indonesia sebagai bahasa yang dikaji, diajarkan dan dikembangkan di luar dunia Melayu (di Eropah, di Amerika, di Oceania, di Timur Jauh dan di wilayah lain). Sekalipun tidak menegaskan satu ragam yang meleburkan mana-mana varian itu, pendedahan padanan antara dua varian bahasa Melayu itu cukup banyak membantu pemahaman pelajar asing terhadap bahasa Melayu supra yang tersebar di alam Melayu dan di wilayah lain di dunia.

Tahap supra yang turut perlu dititikberatkan ialah usaha membina kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa yang bersifat antarterjemah dengan bahasa-bahasa moden lain, khususnya melalui kegiatan terjemahan karya ilmu dan teknikal, selain karya sastera. Dengan banyaknya karya ilmu dan teknikal yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, secara langsung bahasa Melayu kian kukuh dalam daya pengungkapan hal ehwal ilmu dan teknikal yang sejagat sifatnya.

Demikian pula, peranan bahasa Melayu dalam bidang diplomasi dapat meningkatkan tahap supranya. Sekali lagi, kita memerlukan iltizam dan perancangan yang rapi dan berani serta memandang masa hadapan yang lebih gemilang untuk bahasa Melayu. Protokol negara tertentu seperti Jepun, Republik Rakyat China dan Korea yang mewajibkan para pemimpin berucap dalam bahasa kebangsaan di majlis rasmi antarabangsa, dengan menyediakan jurubahasa atau terjemahan selari, seharusnya menjadi contoh negara kita, jika kita mempunyai cita-cita untuk meningkatkan bahasa Melayu ke tahap supra. Di Pertubuhan Bangsa Bersatu pula, bahasa Melayu boleh digunakan, dengan penyediaan dana untuk khidmat terjemahan. Soalnya, adakah hal ini difikirkan dan dirancang sebagai salah satu agenda negara?

Bahasa pengungkap estetik

Bahasa berbudaya tidak terlepas juga daripada fungsinya sebagai pengungkap estetik. Bahasa Melayu memang sesungguhnya kaya dengan karya susastera yang memancarkan nilai estetik yang tinggi, sehingga memukau perhatian dan minat sarjana sedunia. Pengikitirafan UNESCO kepada Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah sebagai antara warisan persuratan sedunia menjadi bukti yang jelas. Genre sastera Melayu lama yang bervariasi, baik dalam bentuk prosa mahupun puisi, menjadi tapak yang kukuh untuk bahasa Melayu kini ditingkatkan menjadi bahasa berbudaya daripada segi estetik.

Penerokaan karya kreatif tidak seharusnya hanya dalam bentuk pengisian genre atau bentuk luaran yang wujud dalam sastera bahasa lain, seperti novel, cerpen, drama, sajak, tetapi juga dalam bentuk peningkatan pemikiran dan nilai estetikanya. Bahasa dan persuratan Melayu Melayu kini memerlukan jelmaan Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji dan nama-nama besar lain. Sasterawan Negara yang diberi pengiktarafan perlu disertai oleh lebih banyak karyawan dalam upaya peningkatan aspek tersebut, dengan penerokaan yang menghasilkan kesan lonjakan paradigma sastera Melayu.

Selain itu, dambaan kita ialah bahawa akan tiba saatnya bahasa berbudaya daripada segi estetik menarik minat dan penghayatan serta menjadi kemahiran bukan hanya dalam kalangan yang eksklusif atau golongan yang ditakdirkan mengkhusus dalam penulisan sastera semata-mata, tetapi turut menggerakkan minat dan penghayatan serta menjadi kemahiran golongan dalam bidang sains dan tekonologi, ekonomi, pengurusan dan yang lain.

Demikianlah, bahasa berbudaya pada hakikatnya menjada prasyarat pembinaan dan pengembangan tamadun sesuatu bangsa. Bahasa berbudaya dengan pengertian yang luas dan mendasar ditandai oleh kewujudannya berdasarkan enanm ciri, iaitu sebagai bahasa akliah, bahasa ilmu, bahasa tinggi, bahasa supra, bahasa yang merentas bidang dan bahasa pengungkap estetik. Penggubal dasar negara sewajarnya memberikan perhatian kepada hakikat itu dalam perencanaan dan pelaksanaan pembangunan masyarakat dan negara.



[Diubahsuaikan daripada makalah yang diterbitkan dalam majalah Dewan Bahasa, Februari 2010]

tarikh capaian: 30 Jun 2010

Tugas:

1) Menggunakan bahan yang telah diterbitkan secara formal, senaraikan lima bahan yang mencerminkan setiap ciri yang dibicarakan oleh Prof Awang Sariyan dalam artikel ini.

2) Gunakan artikel ini sebagai data. Kenal pasti dan bincang ciri bahasa manusia yang boleh dikenal pasti dalam data ini.


No comments:

Post a Comment